SYARAHAN PERDANA HAUL IMAM ABDUL ‘AALI IBN AHMAD IBN IDRIS
Seremban, Sabtu 11 Ogos 2018: Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara dengan kerjasama Pertubuhan Tarekat al Muhammadiyyah telah menganjurkan sebuah program yang merupakan kesinambungan daripada Multaqa Antarabangsa Imam Ahmad ibn Idris iaitu Syarahan Perdana Haul Imam ‘Abdul ‘Aali ibn Ahmad ibn Idris bertempat di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan.
Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk menjelaskan kepada para ikhwan dan pencinta Tarekat Ahmadiah Idrisiah berkenaan dengan peranan dan sumbangan zuriat Imam Ahmad ibn Idris dalam pemeliharaan dan penyebaran Tarekat Ahmadiah Idrisiah.
Dalam program tersebut, Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab at Tazi al Hasan al Idrisi selaku Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia telah menyampaikan syarahan perdana dengan menegaskan bahawa Tarekat ini dinamakan dengan Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang diasaskan oleh Imam Ahmad ibn Idris. Tidak ada pengasas yang kedua dan ketiga. Manakala, beliau sekali lagi mengisyaratkan bahawa khalifahnya di Asia Tenggara hanya seorang iaitu Dato Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin.
Program diteruskan dengan sesi soal jawab bersama Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia bagi merungkai segala persoalan dan permasalahan berkenaan dengan Tarekat ini.
Setelah itu, Dato Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin selaku Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara menyampaikan ucapan penggulungan dengan menekankan tentang Silsilah az Zahab (Silsilah Emas) yang terdapat dalam sanad Tarekat ini iaitu setiap rijal yang mengijazahkan Tarekat ini merupakan Ahli Keluarga Rasulullah, ahli keluarga Imam Ahmad ibn Idris dan Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia yang berdaftar di bawah Majlis Tertinggi Tarekat Sufi Mesir.
Program Syarahan Perdana ini diakhiri dengan talqin dan ijazah Tarekat Ahmadiah Idrisiah oleh Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia, Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab at Tazi al Hasan al Idrisi kepada semua hadirin.
Syarahan Perdana kali ini turut dihadiri oleh wakil Ahli Keluarga Adarisah, Sayyid Abu al Qasim al Idrisi, Sayyid Abdul Aziz ad Dabbagh al Idrisi, Prof Dr Sayyid al Mirghani Hussin al Idrisi, Dr Sayyid al Murtadha al Idrisi, Sayyid Muhammad al Idrisi, Yang Arif Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Ustaz Haji Mohd Amirul Isma bin Md Yusuf Setiausaha Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara dan Tuan Amran bin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Tarekat al Muhammadiyyah.