Prof. Dr. Salih Ali Karrar menyebut dalam bukunya al Tariqah al Idrisiah fi al Sudan bahawa Syeikh Muhammad al Tihami al Hasan yang merupakan salah seorang tokoh utama al Rasyidiah di Khartoum Sudan menyatakan:
“Abu al Abbas al Dandarawi telah membangkitkan kembali kontroversi berkenaan bapanya iaitu Muhammad al Dandarawi sebagai waris sebenar Ibrahim al Rasyid. Dia juga mencela mereka yang berpandangan bahawa perwarisan itu telah berpindah selepas kewafatan Ibrahim al Rasyid kepada salah seorang murid (kanan)nya di Sudan iaitu al Haj al Dafari.”
Perselisihan dan polemik yang melanda ini turut mencetuskan persoalan berkenaan hak dan autoriti Muhammad al Dandarawi selaku waris Syeikh Ibrahim al Rasyid dan pengiktirafan kelayakannya dalam menyebarkan jalan al Rasyidiah yang membawa Tarekat Ahmadiah sehinggakan memberi imej dan nama yang buruk kepada Tarekat Sayyid Ahmad ibn Idris yang suci murni.
Tambahan lagi, pengikut-pengikut al Dandarawiah juga terpalit dengan kontroversi lain iaitu mereka mengiktiqadkan bahawa Nabi Isa AS akan muncul dari salah seorang anak Syeikh Muhammad al Dandarawi. Demikian juga mereka beriktiqad bahawa Imam Mahdi akan lahir dalam kalangan anak-anaknya. Secara zahirnya, dakwaan mereka itu kembali kepada Abu al Abbas al Dandarawi. Malangnya, Abu al Abbas al Dandarawi tidak pula menafikan semua dakwaan itu atau membersihkan namanya serta seolah-olah mengakuinya.
Akibat dari kontroversi dan dakwaan-dakwaan batil ini, maka terhasillah gambaran buruk dan kesan negatif kepada Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang asli yang tersebar ke seluruh pelosok dunia Islam terutamanya di Sudan.
Justeru, Syeikh Umum Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia ketika itu iaitu Sayyid Muhammad Mirghani al Idrisi membawa isu tersebut kepada Majlis Sufi Tertinggi Mesir sebagai badan yang berautoriti mengiktiraf dan menyelia tarekat-tarekat sufi di Mesir dan Sudan. Kajian dan siasatan yang dijalankan telah dibentangkan dalam satu sidang khas yang membawa kepada pemecatan Abu al Abbas al Dandarawi dan pengikutnyanya dari semua tarekat sufi di Mesir khususnya Tarekat Ahmadiah Idrisiah.
Dengan itu, al Dandarawiah diharamkan menisbahkan perhimpunan mereka kepada Sayyid Ahmad ibn Idris dan tarekatnya. Ia kemudiannya bergerak sebagai sebuah pertubuhan bernama Usrah Dandarawiah tanpa ada sebarang kaitan lagi dengan Tarekat Ahmadiah Idrisiah baik dari segi zahir mahupun batin.
Fakta-fakta sini sekaligus membatalkan kebenaran catatan sesetengah penulis di Malaysia yang menyebut bahawa:
“Sayyid Muhammad al Dandarawi telah wafat pada tahun 1327H/ 1909M dan pimpinan tarekat ini dipegang oleh anaknya sendiri iaitu Sayyidi Abu al Abbas al Dandarawi.”
Disebabkan banyak persoalan yang tercetus meminta penjelasan berkenaan status al Dandarawiah ini, maka pihak Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah terpanggil untuk memaparkan Pekeliling Rasmi yang ditandatangani oleh Ahli Majlis Sufi Tertinggi Mesir demi memenuhi permintaan dan menyebarkan hakikat yang sebenar.
Maka, apa yang dipaparkan ini tidak lain hanyalah sebagai satu bentuk nasihat kepada kaum Muslimin agar mereka dapat meletakkan kaki di landasan yang tepat dalam perjalanan mereka menuju Allah, khususnya bagi sesiapa yang ingin menempuhnya melalui jalan al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris.
Insya Allah tidak lama lagi pihak Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara akan menerbitkan sebuah risalah kecil yang menyentuh khusus berkaitan hal ini.
Adakah Tarekat Ahmadiah ar rasyidiah cabang Tarekat Ahmadiah ar idrisiyyah?