SAMBUTAN IHYA’ HARI ‘ARAFAH & MALAM ‘AIDILADHA 1439H

Ampang, 21 Ogos 2018: Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara dengan kerjasama Pusat Islam Imam Ahmad ibn Idris telah menganjurkan Sambutan Ihya’ Hari ‘Arafah dan Ihya’ Malam ‘Aidiladha bertempat di Pusat Islam Imam Ahmad ibn Idris, Kolej Islam As Sofa Ampang, Selangor.

Hampir 500 Ikhwan dan Muhibbin Tarekat ini telah berkumpul seawal jam 4 petang untuk sama-sama bermunajat dan berdoa meraih maghfirah dan rahmat dariNya pada hari yang paling mulia dalam dunia iaitu Hari Arafah, 9 Zulhijjah.

Program diawali dengan alunan takbir muqayyad yang dikumandangkan oleh barisan Munsyid As Sofa dan disusuli dengan bacaan dan kupasan Ahzab Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang dipimpin oleh Syeikh Tarekat Ahmadiah Asia Tenggara, YBhg. Dato Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin.

Menjelang waktu Maghrib, YBhg. Dato Syeikh memanjatkan doa dan zikir munajat secara berjemaah bersama para ikhwan dan muhibbin yang hadir. Sebelum azan Maghrib dikumandangkan, beliau sempat meriwayatkan hadith Musalsal Hari ‘Arafah kepada semua hadirin. Majlis periwayatan hadith Musalsal ini merupakan tradisi keilmuan yang diwarisi daripada jaguh ulama’ terdahulh dan terkemudian.

Pada sebelah malam pula, sudah menjadi kelaziman pada setiap tahun, ikhwan Tarekat Ahmadiah Idrisiah berhimpun pada malam Aidiladha bagi menghidupkan malam tersebut dengan zikir, doa munajat dan majlis ilmu. Pada tahun ini, Alhamdulillah, para ikhwan berkesempatan meriwayatkan Ahzab Tarekat Ahmadiah Idrisiah, milik Qutb an Nafis al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris secara Sama’ dan Qiraat daripada Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, YBhg. Dato Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin.

Beliau sempat menitipkan pesanan kepada para ikhwan supaya menjadikan bait-bait munajat dalam Ahzab sebagai doa seharian dalam rangka perjalanan seorang hamba menuju kepada Allah. Hal ini kerana Ahzab milik al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris ini mengandungi hakikat makrifatullah yang tidak ada pada ahzab yang lain. Majlis diakhiri dengan bacaan takbir mursal dan selawat.

Leave a Reply