Syeikh Umum Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia Islam Prof. Dr. Sayyid Abdul Wahhab al Tazi ibn al Hasan al Idrisi menegaskan bahawa Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah hanyalah seorang dalam satu masa. Barangsiapa yang mendakwa sebagai syeikh tarekat di samping syeikh yang sahih, sekalipun dia dari kalangan anak cucu Sayyid Ahmad ibn Idris, maka dakwaannya tidak diterima.

Perbuatan mendakwa sebagai syeikh tarekat adalah salah satu bentuk penganiayaan terhadap tarekat. Kebiasaannya dakwaan seumpama ini datang dari kalangan mereka yang kecewa kerana tidak dilantik sebagai syeikh dan khalifah.

Sayyid Ahmad ibn Idris tidak pernah memberikan ijazah khilafah kepada semua muridnya. Ijazah yang diperolehi oleh kebanyakan murid-muridnya hanyalah ijazah beramal dengan tarekat.

Oleh itu, terdapat ijazah untuk memberikan tarekat dan mentalqinkan zikir daripada beliau kepada sebahagian muridnya seperti Sayyid Abdul Rahman al Ahdal (Mufti Zabid Yaman) yang menunjukkan bahawa ijazah dalam Tarekat Ahmadiah Idrisiah berjenis-jenis. Bermaksud, seseorang yang mendapat ijazah beramal tidak secara automatik boleh mengijazahkan orang lain amalan tersebut.

Perkara ini berterusan sehingga kepada zaman Sayyid Abdul ‘Aali dan Sayyid Muhammad al Syarif di mana kedua duanya tidak memberikan semua anak-anak mereka Ijazah Khilafah sekalipun mendapat ijazah amal.

Kesimpulannya, bukan semua Sadah Idrisiah adalah Syeikh-syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang berautoriti mengijazahkan dan melantik khalifah-khalifah.
Ini kerana, Tarekat Ahmadiah Idrisiah di dunia ini hanya satu sahaja. Ia kini berada di bawah kepimpinan dan pengurusan keluarga al Hasan iaitu Prof. Dr. Sayyid Abdul Wahhab al Tazi al Hasan al Idrisi.

Semoga umat Islam diberikan petunjuk kepada syeikh yang benar, yang mempunyai sanad muttasil (bersambung) sehingga kepada Sayyid Ahmad ibn Idris. Tidak ada suatu kebahagiaan yang paling tinggi bagi seseorang melainkan setelah dipertemukan dengan guru yang muktabar dan sahih.

Leave a Reply