QURBAN PERDANA YAYASAN SOFA NEGERI SEMBILAN KALI KE-20

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah, Yayasan Sofa Negeri Sembilan dengan kerjasama Pertubuhan Tarekat al Muhammadiyyah (FATIM) telah menganjurkan program Qurban Perdana Yayasan Sofa yang melibatkan 163 ekor lembu & 28 ekor kambing. Jumlah qurban pada tahun ini merupakan bilangan terbesar yang pernah diuruskan oleh Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan Pertubuhan Tarekat al Muhammadiyyah sejak 20 tahun pelaksanaannya.

Sejumlah 500 orang peserta yang terdiri daripada ahli Yayasan Sofa dan FATIM, ibubapa pelajar dan masyarakat luar telah mengambil bahagian dalam Qurban Perdana yang dijalankan di Zawiyyah Muhammadiyyah, Rembau baru-baru ini.

Kemeriahan program Qurban Perdana kali ke-20 ini sebenarnya telah bermula semenjak 20 ogos lagi dengan pengisian ilmu pada malam ke 8 Zulhijjah (Malam Tarwiyyah), Ihya’ Malam Arafah, Munajat Hari ‘Arafah, Ihya’ Malam ‘Aidiladha & Solat Sunat serta Khutbah ‘Aidiladha. Sejurus selepas Khutbah yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin, maka bermulalah program Qurban Perdana Yayasan Sofa dengan sembelihan haiwan Qurban untuk Rasulillah ﷺ.

Dengan izin Allah, tepat jam 5.30 petang, seluruh haiwan Qurban selesai disembelih, dilapah dan mula diagih-agihkan kepada fakir miskin, petugas dan masyarakat sekitar Rembau.

Dianggarkan seramai 1200 orang telah disenaraikan untuk mendapat agihan daging daripada Qurban Perdana Yayasan Sofa pada tahun ini. Setiap daripada mereka akan mendapat 2 kilo daging dan tulang Qurban.

Pihak Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan Pertubuhan Tarekat al Muhammadiyyah melalui Pengasas dan Pengerusinya, YBhg. Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin, merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh ahli Yayasan dan FATIM, ibu bapa, pelajar dan masyarakat sekitar yang turut sama-sama menjayakan program Qurban Perdana kali ke-20 pada tahun ini.

Semoga ibadah Qurban kita pada tahun ini diterima disisi Allah dan mendapat inayah serta pandangan dariNya.

Leave a Reply