RABAT, Maghribi, 15 Disember 2017 – Kursi Pengajian Islam Imam Ahmad ibn Idris hari ini dirasmikan di Universiti Muhammad ke-5, Rabat Maghribi.
Perasmian itu dibuat oleh Presiden universiti tersebut, Profesor Dr Said Amzazi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial.
Kursi akademik, yang akan memberi tumpuan pengkajian terhadap metode Imam Ahmad ibn Idris dalam arena ilmu dan dakwah dan ditubuhkan oleh Kolej Islam As Sofa, Malaysia.
Majlis perasmian itu disaksikan oleh Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin yang merupakan penerima Anugerah Medal Emas Universiti Muhammad ke-5 bersempena sambutan ulangtahun ke-60 universiti tersebut ditubuhkan iaitu pada tahun 1957.
Hadir sama menyaksikan adalah Dato’ Bandar Rabat, Ibrahim Jumani; Duta Besar Sudan ke Maghribi, Suliman Abdeltowab Elzein; wakil parlimen kerajaan Maghribi, Dr Hassan Ammari; Pemangku Duta Besar Malaysia ke Maghribi, Shahrul Nizam Abdul Malek; Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Shukor Sabudin serta penasihat luar negara Kolej Islam As Sofa, Profesor Dr Sayyid Abdul Wahab Al Tazi al Hasan al Idrisi yang juga Syeikh Umum Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia dan Dr Muhammad al Mujaddidi al Hasan al Idrisi yang juga Naib Syeikh Umum Tarekat.
Said Amzazi berkata, penubuhan Kursi Pengajian Islam Imam Ahmad bin Idris itu akan membuka lebih banyak ruang kajian dan penerbitan, yang akan dilakukan secara bersama antara kolej dan pihak universiti.
“Perasmian yang dibuat terhadap Kursi akademik itu menyaksikan betapa universiti komited untuk mendalami kajian dan penerbitan bahan ilmiah terhadap seorang tokoh ilmuan Islam yang hebat ini,” katanya semasa merasmikan Kursi.
Kursi ini akan ditadbir wakil Kolej Islam As Sofa dan universiti, di mana setiap satu institusi dianggotai oleh dua orang wakil.
Perasmian pejabat Kursi itu disempurnakan oleh Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bersama Prof. Dr. Abdul Wahab Al Tazi.
Kursi ini akan menumpukan terhadap usaha dakwah dan pembaharuan yang diagendakan oleh Imam Ahmad ibn Idris serta sejauh mana keberkesanannya, setelah bertapak di kebanyakan negara Islam terutama di bahagian Timur dunia.
Penubuhan Kursi ini diilhamkan oleh Dato’ Syeikh Muhammad Fuad dan mendapat persetujuan daripada waris Imam Ahmad ibn Idris iaitu Prof. Dr. Abdul Wahhab al Tazi dan Muhammad al Mujaddidi, yang juga cucunya.
Kursi ini ditubuhkan hasil kerjasama antara Kolej Islam As Sofa, Malaysia dan Universiti Muhammad Ke-5 sebagai kerjasama akademik, lanjutan dari apa yang telah dipersetujui secara rasmi sebelum ini antara kedua-dua institusi pengajian tinggi tersebut.
Kursi ini merupakan yang pertama membawa nama Imam Ahmad ibn Idris di dunia. Sementara itu Ketua Eksekutif kolej Islam As Sofa Mohd Sufi Ibrahim berkata, belum ada sebelum ini mana-mana institusi atau universiti di dunia yang menubuhkan Kursi Pengajian Islam Imam Ahmad ibn Idris melainkan buat pertama kalinya di Maghribi pada tahun ini bertepatan dengan tempat kelahiran Imam Ahmad ibn Idris sendiri.
“Kursi Ini akan juga menumpukan usaha pengumpulan dan pemeliharaan manuskrip-manuskrip yang berkaitan dengan Imam Ahmad ibn Idris, menyemak dan menerbitkannya.
“Dalam masa yang sama, ia juga memainkan peranan sebagai badan yang akan mencetak segala kajian dan kertas kerja yang pernah dihasilkan berkaitan Imam Ahmad ibn Idris dan perkembangan madrasahnya,” katanya.