Ahad, 5 Ogos 2018, Hotel Intercontinental Kuala Lumpur.

MULTAQA ANTARABANGSA TAREKAT AHMADIAH IDRISIAH KE-2

ANJURAN BERSAMA MASYYAKHAH TAREKAT AHMADIAH IDRISIAH ASIA TENGGARA, PERTUBUHAN TAREKAT AL MUHAMMADIAH DAN INSTITUT AL IMAM AHMAD IBN IDRIS (SAIFI)

Segala Puji Bagi Allah, Multaqa Antarabangsa Tarekat Ahmadiah Idrisiah ke-2 telah berlangsung dengan jayanya semalam dengan tema pada kali ini;

درع الدخيل وترسيخ الأصيل في الطريقة الأحمدية الإدريسية

“Menolak Kepalsuan dan Memperkasakan Ketulenan di dalam Tarekat Ahmadiah Idrisiah”

Seramai 1500 peserta dari kalangan ikhwan dan muhibbin menghadiri Multaqa ini yang berlangsung sejak jam 2.30 petang hingga 7.30 malam.

 

Multaqa pada kali ini telah dihadiri oleh Sadah al Adarisah yang mulia dari cucu keturunan Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris, diketuai oleh al Arif Billah Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi ibn al Hasan al Idrisi yang merupakan Syeikh Umum Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia pada ketika ini.

Syeikh Haji Salahuddin bin Haji Azarai, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Negeri Sembilan berkesempatan menyampaikan ucapan beliau selaku Pengerusi Multaqa pada kali ini. Beliau telah menjelaskan objektif penganjuran Multaqa kali ke-2 ini;

1. Memberi kefahaman kepada masyarakat tentang Tarekat Ahmadiah Idrisiah dan pengasasnya mengikut rujukan yang muktabar di sisi Masyakhah Tarekat.

2. Menyingkirkan sesuatu yang tidak sahih dan tulen dari tarekat yang mulia ini, sama ada dari segi ijazah sanad mahupun dari segi amalan dan perkara-perkara lain yang bersangkutan dengan tarekat termasuklah manaqib (biografi) pengasasnya.

3. Memberikan kefahaman dan memperkenalkan kepada masyarakat tentang Tarekat Ahmadiah yang asli dan tulen dibawa dan berada dibawah kepimpinan keluarga Sayyid Ahmad ibn Idris iaitu keturunan Sayyid Abdul ‘Aali sekarang.

4. Memperingatkan masyarakat supaya jangan membawa ikhwan tarekat kepada syeikh yang sedia ada, sebaliknya membawa mereka kepada empunya tarekat itu.

5. Menjelaskan segala syubuhat (kesamaran) dan perkara-perkara yang meragukan yang dikaitkan dengan tarekat yang mulia ini.

6. Mengembalikan masyarakat kepada Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang asal dan tulen sama ada dari segi manhaj dan amalan.

Beliau juga berharap agar para ikhwan bertindak secara rasional dan menambahkan ilmu pengetahuan terhadap manhaj yang amat mulia ini agar perjalanan ibadat dalam perhambaan kepada Allah akan menemui titik pertemuan yang akan menyebabkan terhasil suatu ketenangan yang hening, yang tidak mampu lidah merungkainya dalam kesempatan yang terbatas ini.

Sesi pertama dalam Multaqa Antarabangsa Tarekat Ahmadiah Idrisiah diteruskan lagi dengan ucapan daripada Syeikh Umum Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia, al Arif Billah Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi al Idrisi. Beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin kerana dengan sebab beliau, Multaqa ini dapat dijalankan dan dapat berhimpun dengan para ikhwan serta muhibbin tarekat yang mulia ini.

Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Dato’ Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin kemudian menyampaikan ucapan dengan memberikan pengenalan serta maksud Multaqa pada kali ini dijalankan. Ia menjurus kepada langkah-langkah untuk memberikan kefahaman yang sebenarnya kepada para ikhwan khususnya dan muhibbin bagi tarekat ini supaya benar-benar mengetahui akan ciri-ciri atau prinsip-prinsip yang mendasar dalam Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang sunyi daripada segala anasir-anasir luar serta penambahan yang tidak berasas.

Selepas rehat, sesi kedua Multaqa Antarabangsa Tarekat Ahmadiah Idrisiah diteruskan dengan sesi soal jawab bersama Syeikh Umum Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia. Dalam kesempatan ini, suatu buku panduan berdasarkan kaedah Solan dan Jawab (Question and Answer) bagi Tarekat Ahmadiah Idrisiah telah dikeluarkan. Ia merupakan himpunan soalan-soalan mendasar dan penting berkaitan tarekat ini yang telah dikumpul daripada pelbagai soalan yang dikemukakan oleh para ikhwan serta muhibbin tarekat ini dan dijawab sendiri oleh Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia.

Antara soalan terpenting yang sempat dibincangkan dan diberikan penerangan yang jelas dan padat daripada beliau, yang kemudiannya diterjemahkan sendiri oleh Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin ialah berkenaan takrif atau definisi bagi Tarekat Ahmadiah Idrisiah. Tarekat Ahmadiah Idrisiah ialah sebuah tarekat yang dinisbahkan kepada al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris dengan sanad yang sahih dan muttasil (bersambung) berserta manhaj teori dan praktikal.

Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara menjelaskan bahawa penting bagi ikhwan atau orang yang menisbahkan diri mereka kepada tarekat ini untuk mensahihkan nasab mereka kepada empunya tarekat, al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris. Hal ini kerana, tanpa sandaran atau nisbah yang sahih, maka kemungkinan besar tiada di sana hubungan ruhani dengan beliau yang seterusnya bersambung sehingga Sayyiduna Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم.

Hal ini termasuklah dengan semua perkara asas yang bersangkut paut dengan tarekat ini bermula daripada sanadnya, ijazah mahupun amalan yang dinisbahkan kepada al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris.

Pada akhir ucapan beliau, Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin sempat menyatakan bahawasanya pihak Masyyakhah sentiasa mengalu-alukan dan terbuka menerima tetamu, para ikhwan yang mempunyai kemusykilan atau kesamaran mengenai tarekat ini untuk bersua muka berbincang bersama bagi mendapatkan pencerahan serta kebenaran perihal tarekat ini.

Para ikhwan, muslimin dan muslimat yang hadir para Multaqa kali ini bersetuju sebulat suara untuk menerima “Himpunan Soal Jawab Tarekat Ahmadiah Idrisiah” yang dikeluarkan oleh pihak Masyyakhah sebagai satu resolusi yang dipersetujui dalam Multaqa Antarabangsa Tarekat Ahmadiah Idrisiah ke-2 bagi tahun 2018 ini.

Majlis bersurai pada jam 7.30 malam dan kemudiannya diteruskan dengan Majlis Konvokesyen al Quran dan Hadith As Sofa ke-5 pada jam 8 malam.

Turut hadir, Ustaz Haji Mohd Amirul Isma bin Md Yusuf, Setiausaha Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Yang Arif Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Berbahagia Sayyid al Mirghani Husein al Idrisi dan Sayyid Abdul Aziz al Dabbagh, wakil keluarga Adarisah.

Leave a Reply