Hari: Ahad
Tarikh: 18 Disember 2017 / 30 Rabiul Awwal 1439 H
Tempat: Maqam Al Imam Abdul Salam ibn Masyish
Perjalanan para ikhwan diteruskan lagi pada hari ini. Setelah menziarahi tempat kelahiran al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris semalam, pada hari ini pula para ikhwan bermusafir menuju ke Jabal Alam untuk menziarahi Maqam Imam Abdul Salam ibn Masyish.
Sebagaimana maklum bahawa al Imam Abdul Salam merupakan Murabbi kepada salah seorang Umdah Tarekat Ahmadiah Idrisiah ini iaitu al Imam Abu Hasan al Syazuli. Beliaulah yang bertanggungjawab mengajar dan mentarbiah al Imam Abu Hasan untuk suluk kepada Allah ta’ala yang akhirnya al Imam Abu Hasan al Syazuli benar-benar telah menjadi seorang ulama sufi pada zamannya yang agung pada zamannya.
Perjalanan yang berbukit-bukau, dengan cuaca yang adakalanya agak sejuk sebagaimana rombongan kali ini pergi, merenungkan sejenak bagaimana mujahadah Al Imam Abu Hasan al Syazuli sanggup mengharungi perjalanan yang amat sukar untuk bertemu dengan murabbinya al Imam Abdul Salam di pertengahan gunung ini bagi mempelajari dan menjalani suluk kepada Allah di sini.
Turut bersama dalam ziarah ini, Syeikh Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia, Prof. Dr. Abdul Wahhab al Tazi dan timbalannya Dr. Sayyid Muhammad al Mujaddidi al Idrisi, Wakil Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Dato’ Hj. Muhammad Fuad bin Kamaludin dan Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan, Dato’ Haji Muhammad Shukor bin Sabudin.
Ziarah diakhiri dengan bacaan Tahlil Khusus, Salawat Azhimiah, Istighfar Kabir dan doa daripada para Masyaikh. Doa turut dipanjatkan buat keafiatan seluruh ikhwan Ahmadiah Idrisiah.