Hari: Selasa
Tarikh: 19 Disember 2017.
Tempat: Fez, Maghribi

Foto: Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi ibn al Hasan al Idrisi bersama adinda dan juga selaku naibnya Sayyid Muhammad al Mujaddidi ibn al Hasan al Idrisi diiringi Wakil Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara Dato’ Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin bergambar kenangan di sisi maqam nenda mereka Maulay Idris al Azhar ibn Idris al Akbar di Fez, Maghribi.

Hari semakin petang. Cuaca sejuk mencengkam. Para ikhwan tetap bersemangat untuk meneruskan ziarah terakhir pada hari ini dengan menjejaki zuriat kepada Maulay Idris al Akbar iaitu Maulay Idris al Azhar di kota lama Fez, Maghribi.

Ketika ayahandanya, Maulay Idris al Akbar wafat, beliau masih dalam kandungan bondanya berusia 7 bulan. Sementara menanti Maulay Idris al Azhar mencapai usia kematangannya, Maulay Rasyid telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir Maghribi pada ketika itu.

Ikon kebanggaan negara Maghribi, Pembina Kota Fez, Amir al Mu’minin Maulay Idris al Azhar telah menjejaki kesan peninggalan ayahandanya yang mulia. Beliau telah membangunkan sebuah Tamadun Islam yang belum pernah disaksikan sebelumnya dan tiada tolok bandingannya. Tatkala ingin memulakan pembinaan Kota Fez, beliau mengangkat tangannya bermunajat kepada Allah:

“Ya Allah, Jadilah negeri ini negeri ilmu dan fiqh, yang dibaca di dalamnya KitabMu, ditegakkan di dalamnya hukum-hakamMu. Jadikanlah penduduknya golongan yang berpegang kuat dengan sunnah dan jama’ah selagi mana engkau mengekalkan negeri ini.”

Sesungguhnya Allah telah memperkenankan cita-cita dan impiannya itu dengan menjadikan Fez sebuah negeri yang menghidangkan ilmu yang pelbagai. Telah datanglah ahli hadith, fiqh, sasterawan, penyair dan doktor ke negeri yang mulia dan diberkati ini lalu memancarlah mentari penduduk Maghrib menerangi penduduk Masyriq serta manusia mendapat hidayah Islam lalu mereka berbondong-bondong masuk ke dalam agama Allah.

 

Leave a Reply