Masyyakhah telah diasaskan oleh Sayyid Abdul ‘Aal ibn Ahmad ibn Idris di Zawiyah Zainiyah Luxor Mesir selepas beliau keluar dari Jaghbub Libya setelah setahun kewafatan gurunya Sayyid Muhammad ibn Ali As Sanusi pada 7 September 1859 Masihi bersamaan 9 Safar 1276 Hijrah.
Syeikh Ali Abdul Haq al Qusi mempelawa beliau menziarahi kampung Zainiah Luxor Mesir yang dahulunya ayahanda beliau, Sayyid Ahmad ibn Idris pernah menziarahi kampung tersebut dan mengembangkan tarekatnya di sana. Maka beliau pun menerima pelawaan tersebut. Di sana beliau berkahwin dengan empat orang perempuan dan dikurniakan 9 orang anak. Berikut merupakan senarai nama anak-anak beliau:
- Muhammad Asy Syarif
- Mustafa
- Al Ma’mun
- Muhammad As Sanusi
- Muhammad Al ‘Arabi
- Muhammad Idris
- Al Murtadha
- Abu al Hassan
- Al Amin (wafat waktu kecil)
Beliau tinggal di Zainiah lebih kurang 12 tahun. Maka di sinilah beliau memperkasakan Tarekat al Ahmadiah al Idrisiah yang telah disebarkan oleh ayahandanya Sayyid Ahmad ibn Idris
Visi
Mengembalikan semula kegemilangan Tarekat al Ahmadiyyah al Idrisiyyah di persada antarabangsa.
Moto
Melahirkan Insan Muhammadi & Rabbani Melalui Metode Ahmadi Idrisi.
Misi
Menubuhkan sebuah pusat kecemerlangan bagi menjalankan program pendidikan, penyelidikan dan pengkajian manhaj yang dibawa oleh al Imam Ahmad ibn Idris
Menyelia segala program pentarbiahan seluruh tarekat yang berjalan di atas manhaj al Imam Ahmad ibn Idris
Mengumpul, mengkaji, menyalin, meneliti serta mencetak kembali turath peninggalan al Imam Ahmad ibn Idris serta anak-anak muridnya berinspirasikan nafas baru yang selari dengan ketinggian dan kedudukan keilmuan mereka.
Menterjemah segala karya al Imam Ahmad ibn Idris serta anak-anak muridnya ke dalam pelbagai bahasa.
Falsafah Logo Masyyakhah
Hijau: Merupakan salah satu warna kesukaan Baginda. Ia juga merupakan warna pakaian ahli Syurga sebagaimana yang telah dinukilkan di dalam Muntaqan al Nafis dalam bab berkenaan warna bendera bagi empat nafsu selepas tiga nafsu yang pertama.
Putih: Melambangkan kesucian dan kejernihan manhaj yang didukung oleh Masyyakhah ini yang berlandaskan kepada al Quran dan Sunnah. Ia juga merupakan warna yang paling disukai oleh Allah. Sebuah hadith ada menyebutkan: “Pakailah pakaian bewarna putih kerana sesungguhnya ia adalah pakaian yang terbaik bagi kalian.”
Masyyakhah Tarekat
al Ahmadiah al Idrisiah
Nama al Ahmadiah dinisbahkan kepada al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris selaku tunggak dan sandaran utama tarekat ini.
Manakala al Idrisiah pula dinisbahkan kepada keluarga Sayyid Ahmad ibn Idris kerana keturunannya adalah pembawa dan khalifah kepada tarekat ini sepertimana yang telah dipertanggungjawabkan ke atas mereka.