Jumaat, 10 Ogos 2018, Amverton Beach Resort, Ayer Keroh, Melaka|
MAJLIS RATIB & IJAZAH TAREKAT AHMADIAH IDRISIAH BERSAMA PROF DR SAYYID ABDUL WAHHAB AL TAZI, SYEIKH TAREKAT AHMADIAH IDRISIAH DUNIA
Alhamdulillah, majlis Ratib dan Ijazah Tarekat Ahmadiah Idrisiah bersama Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia di Melaka telah berjalan dengan lancar.
Seramai 400 orang hadirin dari kalangan ikhwan dan pelajar telah menyertai program yang julung kalinya dianjurkan di negeri Ayer Keroh, Melaka.
Majlis dimulakan dengan bacaan Ratib Pagi dan Petang yang dipimpin oleh al Fadhl Ustaz Muhammad Najib bin Zakaria. Zikir Ratib Pagi dan Petang merupakan zikir yang dikarang oleh al Imam Sayyid Abdul ‘Aal ibn Ahmad ibn Idris setelah diminta oleh para ikhwan akan zikr yang ringkas dan mudah untuk dilazimi pada setiap hari.
Majlis diteruskan dengan bacaan al Quran yang disampaikan oleh Ustaz Md. Farid bin Samad al Hafiz dan alunan qasidah pimpinan Ustaz Muhammad Najib bin Zakaria.
Majlis pula diteruskan dengan ucapan aluan daripada wakil ikhwan Tarekat Ahmadiah Idrisiah Melaka, Ustaz Haji Hasbullah. Dalam kesempatan tersebut, beliau menyatakan rasa syukur atas kesudian Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia dan Dato Syeikh Muhamamad Fuad bin Kamaludin, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara untuk menghadiri majilis yang mereka anjurkan tersebut. Beliau menyatakan hasratnya agar Dato Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin tidak keberatan untuk sering menjenguk ikhwan di Melaka dan mengadakan majlis bersama mereka.
Selepas itu, Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi ibn al Hasan al Idrisi, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia menyampaikan ucapan beliau. Beliau menerangkan tentang manhaj Imam Sayyid Ahmad ibn Idris di mana beliau merupakan ulama’ yang berpegang teguh terhadap al Quran dan Hadith.
Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara kemudiannya menyampaikan ucapan beliau menjelaskan tentang jenis-jenis ijazah yang sangat penting untuk difahami oleh Ikhwan Tarekat Ahmadiah Idrisiah.
Majlis disudahi dengan talqin dan ijazah Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang telah dikurniakan oleh Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi al Hasan al Idrisi, Syeikh Tarekat Ahmadih Dunia kepada hadirin.
Turut hadir, Ustaz Haji Mohd Amirul Isma bin Md Yusuf, Setiausaha Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Yang Arif Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Berbahagia Sayyid Abu al Qasim al Idrisi, Dr Sayyid al Murtadha al Idrisi, Sayyid Abdul Aziz al Dabbagh, Dr Sayyid Mirghani Husein al Idrisi, Sayyid Muhammad al Idrisi, wakil keluarga Adarisah.