MAJLIS PECAH TANAH KOMPLEKS IMAM AHMAD IBN IDRIS

Rinching, Semenyih, Selangor
Ahad 12 Ogos 2018

 

Sebuah lagi projek pembangunan kompleks atas nama Imam Ahmad ibn Idris telah dilancarkan bersempena kedatangan Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia baru-baru ini. Kompleks Imam Ahmad ibn Idris ini bakal menempatkan rumah anak yatim, Darul Quran wal Hadith, Zawiyyah dan Masyyakhah Idrisiah. Majlis pecah tanah di tapak kompleks ini telah berlangsung dengan jayanya di kawasan seluas 3 ekar, Rinching, Semenyih Selangor.

 

Setibanya rombongan Sadah Adarisah yang diketuai oleh Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab at Tazi al Hasan al Idrisi di tapak kompleks, beliau beserta rombongan terus melawat kawasan seluas 3 ekar tersebut sambil ditemani Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin. Wakil daripada Jabatan Pembangunan Yayasan Sofa juga sempat memberi taklimat ringkas kepada Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah lantas beliau memanjatkan doa supaya urusan pembangunan kompleks berjalan dengan lancar dan mendapat inayah daripada Allah.

Majlis Pecah Tanah Kompleks Imam Ahmad ibn Idris dimulai dengan pembacaan al Quran yang disampaikan oleh al Fadhl Ustaz Mohd Farid bin Samad al Hafiz dan diiringi dengan persembahan qasidah daripada Kumpulan Qasidah As Sofa. Program kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada wakil Yayasan Sofa Negeri Sembilan, Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin selaku Timbalan Yang Dipertua Yayasan Sofa. Dalam ucapannya, beliau mengungkapkan rasa syukur dan terima kasih kepada pewakaf iaitu al Marhum Dato’ Haji Samuri bin Juraimi dan keluarga kerana memberikan kepercayaan kepada Yayasan Sofa dalam membangunkan kompleks yang akan menyajikan santapan aqli dan rohani di atas tanah seluas 3 ekar ini.

Dalam ucapan Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia, beliau menyatakan rasa syukur yang tidak terhingga apabila melihat kerancakan penyebaran agama Islam secara umumnya dan Tarekat Ahmadiah Idrisiah secara khususnya di negara ini di bawah pimpinan Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin. Beliau secara khususnya berharap dengan penubuhan kompleks ini dapat menyatukan kaum Muslimin di bawah kalimah Tauhid di samping menghindari daripada sikap saling berbalah yang hakikatnya merugikan umat Islam sebagaimana yang berlaku di negara-negara Islam yang bergolak.

Manakala, ucapan Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Dato Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin pula menegaskan bahawa menjadi suatu kewajipan kepada umat Islam untuk menjaga hak anak-anak yatim baik daripada sudut lahiriah mahupun rohaniah. Beliau menyatakan bahawa kebanyakan pengusaha rumah anak-anak Yatim pada hari ini terlepas pandang dari aspek pentarbiahan dan pendidikan kepada anak-anak yatim. Mereka hanya menekankan aspek lahiriah berupa makanan, pakaian dan tempat tinggal semata-mata. Justeru, dengan tertubuhnya Kompleks Imam Ahmad ibn Idris yang juga menyajikan pengajian Tahfiz al Quran dan pembacaan hadith, pentarbiahan dan pendidikan anak-anak yatim akan lebih sempurna dan seterusnya mengangkat martabat mereka selaku ahli ilmu dan orang-orang yang terpilih dalam kalangan hambaNya.

Pada penghujung majlis, barisan keluarga Adarisah dengan diiringi wakil ahli keluarga al Marhum Dato Haji Samuri bin Juraimi, Ustaz Talib bin Abdul Hamid telah menyempurnakan acara penanaman pokok sebagai simbolik Majlis Pecah Tanah Kompleks Imam Ahmad ibn Idris.

Majlis Pecah Tanah Kompleks Imam Ahmad ibn Idris pada kali ini turut dihadiri oleh wakil Ahli Keluarga Adarisah, Sayyid Abu al Qasim al Idrisi, Sayyid Abdul Aziz ad Dabbagh al Idrisi, Prof Dr Sayyid al Mirghani Hussin al Idrisi, Dr Sayyid al Murtadha al Idrisi, Sayyid Muhammad al Idrisi, Syeikh Haji Salahuddin bin Azarai Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Negeri Sembilan, Yang Arif Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin Timbalan Yang Dipertua Yayasan Sofa, Ustaz Haji Mohd Amirul Isma bin Md Yusuf Setiausaha Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Tuan Amran bin Ismail Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Tarekat al Muhammadiyyah, Tuan Haji Syamsuddin Bin Md Yassin Nazir Masjid Kariah Kg Rincing Hulu dan En Basri Bin Ayyob selaku Ketua Kg Rincing Hulu.

Leave a Reply