Jumaat, 10 Ogos 2018, Madrasah al Hasaniah, Rembau, Negeri Sembilan

KULIAH SUBUH & MAJLIS RATIB TAREKAT AHMADIAH IDRISIAH

Pada pagi 28 Zulqaedah, Sekolah Tinggi Islam As Sofa telah menganjurkan kuliah subuh dan Majlis Ratib Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang telah dihadiri oleh Prof. Dr. Sayyid Abdul Wahhab al Tazi al Idrisi, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia, Sayyid Abu al Qasim al Idrisi dan Sayyid Abdul Aziz al Dabbagh al Idrisi.

 

Majlis bermula dengan pembacaan zikir dan salawat sebelum solat subuh yang merupakan amalan yang diriwayatkan daripada Sayyid Ahmad ibn Idris. Selepas solat Subuh, pembacaan al Quran secara berjemaah dijalankan yang diikuti dengan pembacaan Sahih Bukhari diikuti dengan pembacaan Ratib Pagi Petang yang dihimpunkan oleh al Imam Sayyid Abdul ‘Aali ibn Ahmad ibn Idris al Hasani.

 

 

Setelah itu, Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi menyampaikan kuliah subuh beliau yang telah diterjemah oleh Dato Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaludin, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara. Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi menjelaskan tentang kepentingan memahami isi kandungan al Quran al Karim di samping melazimi pembacaannya pada setiap hari. Beliau juga menyentuh tentang faedah-faedah daripada al Quran yang bukan sahaja merangkumi ilmu akhirat akan tetapi turut meliputi ilmu dunia seperti perubahan, sains dan sebagainya.

Di samping itu, Sayyid Abdul Aziz al Dabbagh juga telah menyampaikan beberapa nasihat kepada para hadirin. Beliau menyatakan bahawa amalan harian yang dilakukan oleh para pelajar As Sofa iaitu membaca dan menghafaz al Quran serta melazimi pembacaan Ratib Pagi Petang merupakan suatu yang sangat mulia. Beliau juga memberikan harapan yang tinggi kepada pelajar-pelajar As Sofa supaya kelak mengungguli baik bidang turath mahupun akademik di persada dunia.

Turut hadir, Ustaz Haji Mohd Amirul Isma bin Md Yusuf, Setiausaha Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Yang Berbahagia Sayyid Abu al Qasim al Idrisi, Sayyid Abdul Aziz al Dabbagh, Ust Salahuddin bin Azarai, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Negeri Sembilan.

Leave a Reply