Sayyid Ahmad ibn Idris memiliki sejumlah murid-murid yang aktif menyebarkan dakwahnya. Kader-kader hasil pentarbiahannya ini bergerak ke serata ceruk bagi menyebarkan dakwah Islam hingga sampai ke pedalaman Mesir, Libya dan Sudan.
Antara muridnya yang menggalas tugas tersebut ialah Syeikh Ibrahim al Rasyid yang mengembangkannya ke Sudan. Dakwahnya itu meninggalkan legasi Rasyidiah di Sudan atas nama tarekat yang diasaskan oleh Sayyid Ahmad ibn Idris.
Prof. Dr. Abdul Wahab al Tazi menegaskan bahawa Tarekat Ahmadiah Idrisiah di mana sahaja ia berada hanya mengekalkan satu jalur sahaja. Ia bersifat dominan dan ketuanannya diakui semua dan diiktiraf.
Oleh yang demikian, kita melihat bahawa jalur Sanusi tidak kedapatan di Sudan kerana apabila Ahmadiah Idrisiah sudah ada di sana, ia telah memadai bagi sebuah badan induk yang berautoriti dalam mengembang dan menyebarkan Tarekat Sayyid Ahmad ibn Idris.
Sebelum kedatangan Sayyid Abdul ‘Aali ibn Ahmad Idris ke Sudan, Tarekat Sayyid Ahmad ibn Idris dipimpin dan diselia oleh jalur al Rasyidiah sebagaimana kita maklumi sebelum ini berkenaan peranan Syeikh Ibrahim al Rasyid.
Namun, setelah ketibaan Sayyid Abdul ‘Aali ke sana, segala pimpinan, pengikut dan ahli keluarga al Rasyidiah bergabung dan bernaung di bawah Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang dibawa oleh Sayyid Abdul ‘Aali al Idrisi.
Justeru, sehingga kini tidak terdapat jalur al Rasyidiah di Sudan kerana mereka telah mempersembahkan ketaatan mereka kepada Ahmadiah Idrisiah yang asal, iaitu kepimpinan Sayyid Abdul ‘Aali dan khalifah-khalifah selepasnya.
Demikianlah bagaimana al Rasyidiah di Sudan dengan penuh rasa tawadhuk dan ikhlas menjulang ketuanan Sadah Idrisiah sebagai penghulu mereka sehingga ke hari ini. Ini kerana mereka memahami intipati dan berusaha mempraktikkan kalam Syeikh Ibrahim al Rasyid yang pernah berkata dalam doanya yang masyhur, “Ya Allah, janganlah Engkau gandingkan namaku dan nama Sayyid Ahmad ibn Idris pada nama mahupun tulisan.”
Mereka menyedari bahawa matlamat menjalani tarekat ialah untuk sampai kepada al Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris dengan jalan yang paling mulia, sahih dan muktabar, iaitu jalan puteranya al Imam Sayyid Abdul ‘Aali al Idrisi.
Sejarah Ahmadiah Idrisiah di zaman keemasannya di semenanjung Tanah Arab dan Afrika penuh dengan hikmah, kebijaksanaan dan ketulusan. Namun, malangnya ia suatu yang tiada dan hilang dalam diri kebanyakan yang mendakwa Ahmadiah di nusantara pada hari ini kerana mengutamakan jalur masing-masing dan tidak memandang Jalur Induk Ahmadiah Idrisiah dengan ketuanan dan kemuliaan yang selayaknya.