Sesungguhnya banyak pertanyaan tiba dari para ikhwan dan pengunjung Laman Facebook Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara berkisar beberapa permasalahan, dilema dan kesamaran.

Antaranya berkenaan mereka yang mengambil tariqat dari syeikh-syeikh terdahulu yang telah meninggal dunia. Adakah cukup sekadar terus mengamalkan tarekat itu tanpa mursyid yang membimbing perjalanan rohaninya atau perlu melakukan sebarang tindakan yang lain?

Terdapat di sana jawapan yang baik bagi persoalan seumpama itu dan elok dipraktikkan. Kita tidak perlu pergi jauh dalam mencari jawapan bagi dilema ini. Bahkan, hanya perlu kembali kepada sirah kehidupan Sayyid Ahmad ibn Idris sendiri.

Sayyid Ahmad ibn Idris ketika tempoh saliknya telah berguru dengan Sayyid Abdul Wahhab al Tazi selaku murabbi dan mursyidnya. Selepas kewafatan Sayyid Abdul Wahhab al Tazi, beliau berguru pula dengan syeikhnya yang kedua iaitu Sayyid Abu al Qasim al Wazir al Ghazi sebagai penyambung urusan pentarbiahannya.

Setelah kewafatan Sayyid Abu al Qasim al Wazir, beliau berhasrat untuk berguru dengan salah seorang ulama’ di Fez. Pada ketika itu, beliau mendapat isyarat daripada Rasulullah SAW agar melazimkan diri dengan al Quran sebagai pembimbingnya. Ini bermaksud, tempoh pertarbiahannya telah tamat dan beliau telah menggapai maqam seorang yang kamil (sempurna) dari sudut tarbiah.

Demikianlah yang perlu kita praktikkan dalam kehidupan kita. Matlamat menjalani tarekat ialah demi menggapai redha dan ma’rifatullah. Justeru, proses itu mestilah berterusan. Ia tidak boleh terhenti dan tergendala dengan kematian seorang guru mursyid. Bahkan, hendaklah seorang murid itu mencari guru mursyid yang baru untuk memimpinnya menjalani tarekat sehingga ke akhir hayatnya.

Namun, wajiblah diingat bahawa seseorang itu mesti memilih seorang mursyid yang alim, faqih dan unggul pada zamannya. Bahkan yang lebih utama lagi, hendaklah mursyidnya itu memiliki sanad yang sahih dan muttasil (bersambung), mendapat keizinan dari Syeikh Umum Tarekat untuk mengijazahkan orang lain, juga membawa amalan serta manhaj Sayyid Ahmad ibn Idris yang tulen tanpa sebarang penambahan dan pengurangan.

“Tiada Tuhan selain Allah, Muhammad itu pesuruh Allah. Pada setiap kerdipan mata dan hembusan nafas, juga sebanyak bilangan luasnya ilmu Allah.”

Leave a Reply