Khamis, 9 Ogos 2018, Dewan Imam Ahmad ibn Idris, Sekolah Tinggi Islam As Sofa Rembau Negeri Sembilan

SAMBUTAN HAUL KE-143 IMAM ABDUL ‘AALI IBN AHMAD IBN IDRIS

ANJURAN BERSAMA MASYYAKHAH TAREKAT AHMADIAH IDRISIAH ASIA TENGGARA, PERTUBUHAN TAREKAT AL MUHAMMADIAH, INSTITUT IMAM AHMAD IBN IDRIS DAN SOFA EDUCATION GROUP

Segala puji bagi Allah سبحانه وتعالى, majlis Sambutan Haul ke-143 Imam Abdul ‘Aali ibn Ahmad ibn Idris telah berlangsung dengan jayanya.

Seramai 1300 orang hadirin dari kalangan ikhwan, muhibbin, masyarakat setempat serta pelajar membanjiri Dewan Imam Ahmad ibn Idris dan Madrasah al Hasaniah yang berlangsung sejak Maghrib.

 

 

Kita merasa bertuah dengan kehadiran Saadah al Adarisah daripada cucu keturunan Imam al Akbar Sayyid Ahmad ibn Idris al Idrisi, diketuai oleh al Arif Billah Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi ibn al Hasan al Idrisi yang merupakan Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia pada ketika ini. Turut hadir bersama beliau ialah wakil daripada keluarga Adarisah yang mulia.

 

 

Majlis sambutan haul dimulakan dengan bacaan Zikir Kanz al Sa’adah wal Rasyad yang dipimpin oleh al Fadhil Ustaz Muhammad Najib bin Zakaria. Zikir Kanz al Sa’adah merupakan di antara zikir terpenting dalam Tarekat Ahmadiah Idrisiah. Ia diamalkan oleh para ikhwan di Sabya Yaman sehingga kewafatan Imam Ahmad ibn Idris.

Selesai solat Isya’ berjemaah, majlis diteruskan dengan bacaan al Quran yang disampaikan oleh Ustaz Md. Farid bin Samad al Hafiz dan alunan qasidah yang memuji sahibul haul Imam Abdul ‘Aali ibn Ahmad ibn Idris رضي الله عنهما pimpinan Ustaz Muhammad Najib bin Zakaria.

 

Majlis sambutan haul diteruskan pula dengan ucapan aluan daripada Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Negeri Sembilan, Syeikh Haji Salahuddin bin Azarai. Dalam kesempatan tersebut, beliau mengingatkan kepada para hadirin supaya memberikan wala’ taat setia kepada al Arif Billah Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi ibn al Hasan al Idrisi yang merupakan Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia pada hari ini, walaupun beliau merupakan doktor pakar dari segi latar belakang akademik, akan tetapi beliau diasuh dengan ilmu dan pendidikan agama semenjak kecil dan duduk belajar serta berkhidmat kepada ayahandanya al Arif Billah Sayyid al Hasan ibn Muhammad al Syarif al Idrisi selama 12 tahun lamanya.

 

Selepas itu, al Arif Billah Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi ibn al Hasan al Idrisi, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia memberikan ucapan beliau.

Beliau menceritakan kisah perjalanan hidup Imam Abdul ‘Aali bermula daripada nendanya iaitu Abdullah al Mahad, yang berhijrah ke Fez Maghribi. Daripada keturunan tersebutlah lahir Imam Idris al Akbar dan Idris al Azhar yang merupakan jalur keturunan ayahandanya Imam Ahmad ibn Idris dan beliau sendiri.

 

Dato’ Syeikh Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin, Syeikh Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara kemudiannya menyampaikan ucapan serta memberikan peringatan kepada hadirin berkenaan kepentingan menjaga serta memelihara Tarekat Ahmadiah Idrisiah ini daripada sebarang perkara baru yang tidak bersangkut paut dengan manhaj, amalan serta perjalanan tarekat yang mulia ini.

Selain itu, penting bagi ikhwan tarekat Ahmadiah Idrisiah untuk mensahihkan nasab serta sanad yang mereka ambil dalam menjalani tarekat ini supaya benar-benar sampai sehingga kepada pengasasnya.

 

Majlis disudahi dengan talqin dan ijazah Tarekat Ahmadiah Idrisiah yang telah dikurniakan oleh al Arif Billah Prof Dr Sayyid Abdul Wahhab al Tazi al Hasan al Idrisi, Syeikh Tarekat Ahmadiah Dunia kepada hadirin.

Majlis bersurai pada jam 11.30 malam.

Turut hadir, Ustaz Haji Mohd Amirul Isma bin Md Yusuf, Setiausaha Masyyakhah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara, Yang Arif Dato’ Haji Mohd Shukor bin Sabudin, Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Yang Berbahagia Sayyid Abu al Qasim al Idrisi, Dr Sayyid al Murtadha al Idrisi, Sayyid Abdul Aziz al Dabbagh, Dr Sayyid Mirghani Husein al Idrisi, Sayyid Muhammad al Idrisi, wakil keluarga Adarisah, Tuan Malizan bin Mahmood, Pengarah Urusan Kumpulan Pendidikan Sofa.

Leave a Reply