Pengembaraan merentasi bumi Maghribi menjemput kami pulang ke kampung halaman dan tanah tumpah darah tokoh agung Maghribi yang menyinari Masyriqi dengan ilmu dan ma’rifah. Menelusuri lembah-lembah berbukit diselang seli dengan rerumput menghijau yang terbentang cukup menggamit rasa yang amat sukar untuk diungkapkan.
Lambaian pohon zaitun yang merimbun di sepanjang jalan membawa kami kembali ke ratusan tahun yang silam tatkala Sepanyol menawan Kota Ara’isy (Larache), sebuah pelabuhan entrepot yang menjadi laluan utama persinggahan pelayaran dan kapal dagang.
Kedudukannya yang strategik menghadap Lautan Atlantik yang terbentang luas sudah cukup menaikkan nafsu Sepanyol untuk menawan Ara’isy bagi melebarkan pengaruh ekonominya. Akhirnya tragedi itu membawa kepada penghijrahan beramai-ramai Kaum Asyraf Adarisah antaranya Bani Yamlah ibn Masyish ke kawasan pedalaman.
Penghijrahan itu pada hakikatnya membawa bersama gunung harapan bagi meneruskan kehidupan yang lebih aman dan dunia yang lebih bahagia. Langkah mereka terhenti dan berakhir di sebuah daerah yang terletak 49 kilometer dari pesisiran pantai Kota Ara’isy. Itulah daerah yang bernama Mizoura yang asing di bibir manusia semenjak sekian lama meskipun tidak pernah hilang dari peta dunia.
Di daerah inilah kiranya dapat mereka menghindari angkara Sepanyol, menetap dan selanjutnya melahirkan zuriat-zuriat yang mulia lagi diberkati, antaranya al Imam al Qutb al Nafis Sayyid Ahmad ibn Idris yang lahir pada tahun 1163 Hijrah bersamaan 1760 Masihi.
Pembacaan dan kajian juga telah dijalankan bagi memastikan lokasi sebenar tanah kelahiran tokoh agung ini. Apatah lagi setelah sekian lama tercatat dalam kitab-kitab sejarah bahawa Ahmad ibn Idris dilahirkan di Maisur Maghribi. Catatan ini telah dinukilkan secara meluas tanpa sebarang kajian mendalam mengenai.
Demikian juga tiada suatu pengembaraan pun pernah dilakukan bagi mengenalpasti kesahihan catatan tersebut. Maka berlalulah ratusan tahun dalam keadaan hampir semua manusia bersetuju dan menerima bahawa Imam Ahmad ibn Idris dilahirkan di Maisur (Missour), iaitu sebuah daerah jauh terpencil yang terletak 468 kilometer dari pesisiran pantai Kota Ara’isy.
Namun, sedar tidak sedar manusia itu semenjak asal diciptakan hanyalah berjalan menelusuri taqdir dan kehendak Penciptanya. Ia diibaratkan daun-daun yang berguguran ke bumi. Tidak ada sehelai pun yang gugur melainkan taqdirnya telah tercatat semenjak azali lagi. Begitulah juga tidak menitis embun yang pertama dari langit dan hinggap di rumput yang pertama di bumi melainkan tertakluk di bawah izin dan restuNya jua.
Demikianlah apabila Rabi’ al Awwal tahun 1439 Hijrah menemukan kami kepada daerah Mizoura melalui perantaraan tiga orang tokoh yang berusaha keras untuk menyelidik dan membongkar kedudukan sebenar tanah kelahiran Imam Ahmad ibn Idris. Mereka ialah Syeikh Umum Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia Prof Dr Abdul Wahhab al Tazi al Hasan al Idrisi, naibnya Dr Muhammad al Mujaddidi al Hasan al Idrisi dan Dato’ Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin selaku khalifahnya bagi rantau Asia Tenggara.
Kembara ini menemukan kami buat pertama kalinya daerah Mizoura yang merupakan lokasi paling tepat menggambarkan tanah tumpahnya darah Imam Ahmad ibn Idris. Penemuan buat julung kalinya ini sedikit demi sedikit menghapuskan catatan sejarah yang terpahat di fikiran kami yang menyatakan bahawa Imam Ahmad ibn Idris dilahirkan di Maisur, sebuah wilayah yang terletak nun jauh ke arah selatan Maghribi.
Kami tiba ke Mizoura tatkala hari mulai redup. Angin sejuknya yang berpuput menampan pohon-pohon dan padang rumput hijau membawa fikiran kami menerobos ke alam yang jauh, membayangkan bagaimana lembah ini suatu ketika dahulu dimakmurkan oleh Kaum Asyraf Adarisah nenek moyang Imam Ahmad ibn Idris.
Beberapa ketika sebelum matahari senja melabuhkan tirainya, Prof Tazi tanpa semena-mena berjalan sendirian seolah-olah ingin melepaskan kerinduan yang lama terbuku di hati terhadap tanah tumpah darah nendanya itu. Kami dapat merasakan perasaan berbaur di hatinya antara hiba, rindu, gembira dan bahagia hingga ia jelas terpancar pada wajah dan gerak gerinya. Senyumannya kembali terukir tidak putus-putus seolah-olah menggambarkan suatu kepuasan yang cukup sukar untuk diungkapkan.
Derapan langkahnya perlahan disusun satu demi satu, membawanya bertemu seorang penduduk desa. Kelihatannya mereka mula memperkenalkan diri masing-masing dan berbual mesra. Kami memerhatikan gelagatnya dari jauh tanpa memberikan perhatian yang bersungguh. Barangkali kerana kami merasakan ia hanyalah pertemuan biasa yang tidak memberi apa-apa makna yang besar bagi kembara ini.
Namun, tiada siapa menyangka bahawa Allah ingin menjadikan pengembaraan ini lebih indah lagi apabila pertemuan Prof Tazi dengan lelaki itu membawa kepada sebuah lagi penemuan yang menguatkan lagi pendapat yang sedia ada untuk diterima sebagai fakta yang kukuh.
Lelaki itu membawa kami berjalan meredah sejuk angin senja Mizoura melalui jalan tanah berbatuan yang tidak terlalu tinggi dan tidak pula rendah. Akhirnya kami tiba di sebuah bukit kecil yang diselimuti rumputan hijau laksana bongkah besar. Di situlah, tersusun batuan putih bersih laksana batu nisan sebagai tanda bagi pusara Kaum Asyraf Adarisah zuriat Maulay Idris al Azhar ibn Idris al Akbar.
Penemuan ini menguatkan lagi sekaligus mendokong pendapat bahawa berlakunya penghijrahan kaum Asyraf dari kalangan nenda dan kaum kerabat Imam Ahmad ibn Idris ke daerah tersebut sebagaimana disebutkan sebelum ini. Persoalan kembali menerjah ke kotak fikiran kami, adakah pusara itu pada hakikatnya menyemadikan jasad ayahanda Imam Ahmad ibn Idris, atau insan selainnya? Allah jualah yang Maha Mengetahui.
Doa dan kerahmatan dipohonkan oleh Prof Tazi buat pemilik pusara dengan segunung harapan bahawa itulah sebenar-benarnya pusara nendanya. Azan Maghrib sayup-sayup kedengaran lalu solat jemaah pun didirikan tidak berapa jauh dari pusara tersebut.
Setelah hari mulai gelap, kami beransur meninggalkan daerah Mizoura yang indah dan tenang, dalam keadaan membulatkan azam dan tekad untuk merealisasikan ucapan yang dilafazkan oleh Prof Tazi bagi membina institusi Islam atau masjid di Mizoura demi menyuburkan kembali ingatan terhadap Imam Ahmad ibn Idris di tanah tumpah darahnya.
Ruhiyyah bagi ziarah dan kembara ini amat sukar untuk diungkapkan melalui baris kata mahupun syair indah. Ia terlalu menyentuh kalbu dan meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa kami. Salah satunya kerana kami telah berjaya memecahkan kebuntuan dan kesamaran yang terhasil dalam menentukan lokasi sebenar kelahiran Imam Ahmad ibn Idris sama ada di Maisur atau Mizoura yang kedua-duanya terletak dalam negeri Maghribi dan dipisahkan jarak sejauh ratusan kilometer.
Sebaik mendapatkan tempat duduk dan menikmati kehangatan di dalam kenderaan, kami tidak putus-putus memanjatkan doa agar dapat kembali lagi ke Mizoura suatu hari nanti bersama Prof al Tazi dan adindanya Dr Mujaddidi berserta Khalifah Tarekat Ahmadiah Idrisiah Asia Tenggara Dato’ Haji Muhammad Fuad bin Kamaludin untuk menyaksikan tertegaknya Masjid Imam Ahmad ibn Idris di sini, selaku mercu tanda kebanggaan Islam dan Tarekat Ahmadiah Idrisiah di bumi Maghribi.
Sesungguhnya ziarah ini adalah ziarah yang diberkati. Semoga ia diterima Allah atas rasa kasih yang tebal dan mahabbah yang abadi buat Imam Ahmad ibn Idris.
“Tiada Tuhan selain Allah, Muhammad itu pesuruh Allah. Pada setiap kerdipan mata dan hembusan nafas, dan sebanyak luasnya ilmu Allah.”