Menelusuri Sejarah Pembentukan Personaliti Ilmu Imam Ahmad ibn Idris

Suasana petang yang redup di Fez membawa kami meneroka sejarah yang terpahat semenjak 1200 tahun dahulu. Kedamaiannya melambai kami tampil membongkar sejarah sebuah universiti yang memainkan peranannya sebagai peneraju pendidikan rohani dan intelek dunia Islam.

Langkah-langkah kami digagahkan sebaik mungkin menelusuri lorong-lorong sempit di bazar yang menghidangkan aneka juadah, pakaian dan cenderahati. Namun matlamat kembara kami lebih jauh dan tinggi dari itu semua, menjejaki Masjid Qarawiyyin yang agung. Apatah lagi lagi masjid ini berkait rapat dengan binaan keilmuan dan pembentukan personaliti dua orang tokoh Tarekat Muhammadiah, al Imam Sayyid Ahmad ibn Idris dan muridnya al Imam Muhammad ibn Ali al Sanusi.

Mungkin ramai yang menyangka bahawa Universiti Oxford yang terletak di England merupakan universiti terawal. Namun, sejarah telah mencatatkan bahawa Universiti Qarawiyyin di Fez Maghribi merupakan Universiti yang tertua di dunia. Universiti ini diiktiraf oleh UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB) dan Guiness World Record sebagai institusi pendidikan tertua yang wujud di dunia dan masih beroperasi sehingga ke hari ini.

Pengasasan Universiti ini bermula dengan pembinaan Masjid Qarawiyyin yang akhirnya membentuk sistem sebuah universiti. Inilah kebiasaan yang berlaku dalam institusi-institusi pendidikan yang berteraskan sistem turath, di mana masjid adalah asas yang memainkan peranan utama dalam memakmurkan dan menyemarakkan kehidupan sesuatu kawasan.

Masjid al Qarawiyyin, masjid terbesar di Utara Afrika pada zamannya diasaskan pada tahun 245 Hijrah bersamaan dengan 859 Masihi di tangan seorang puteri yang solehah, Fatimah binti Muhammad al Fihri. Ayahnya merupakan seorang usahawan berjaya yang berasal dari Qayrawan Tunisia yang berpindah ke Fez dengan mengikut pendatang-pendatang dari tempat yang sama dan kemudiannya menetap di bahagian barat Kota Fez. Fatimah dan saudara perempuannya Maryam dibesarkan dari latar belakang keluarga yang kuat berpegang dengan agama dan golongan yang terpelajar.

Suasana indah langit Qarawiyyin Fez tatkala hari mulai gelap, menerbitkan sejuta rasa dan rahsia.

 

Berbekalkan harta warisan ayahnya, Fatimah al Fihri membelanjakan keseluruhannya untuk membina Masjid Qarawiyyin yang sesuai bagi masyarakat Qayrawan untuk menjalankan ibadah di samping sebagai pusat pendidikan ketika itu.

Sebagaimana masjid-masjid pada masa dahulu, Masjid Qarawiyyin juga berkembang menjadi tempat untuk mempelajari ilmu agama dan sosiologi, yang seterusnya berkembang menjadi pusat sehenti yang mengajar pelbagai disiplin ilmu, manqul dan ma’qul yakni ilmu yang berteraskan wahyu dan akal.
Di samping disiplin ilmu al Quran dan Fiqh, ilmu seumpama logik, perubatan, matematik, astronomi, kimia dan sejarah turut diajar di sini suatu ketika dahulu. Ia menjadi tumpuan para ulama’ dan penuntut ilmu seluruh dunia Islam pada ketika itu disebabkan kepelbagaian disiplin ilmu serta mutu pengajian yang ditawarkan.

Penulisan sejarah kehidupan imam agung ini menyebut bahawa beliau membesar di bawah didikan dua orang kekandanya selepas kewafatan ayahandanya. Beliau telah menghafaz al Quran al Azhim dan banyak matan-matan ilmu serta memperolehi bahagian yang mencukupi bagi ilmu-ilmu asas.

Syeikh Umum Tarekat Ahmadiah Idrisiah Dunia Prof Dr Abdul Wahhab al Tazi ibn al Hasan al Idrisi mengakhiri kembara ke Qarawiyyin Fez dengan bingkisan mutiara-mutiara ilmu dan nasihat berharga selepas selesai menunaikan Solat Maghrib.

 

Selepas usianya mencecah 20 tahun, beliau pun berpindah ke Kota Fez dan masuk ke Universiti Qarawiyyin. Beliau tinggal di sana untuk menuntut ilmu pada permulaannya, kemudian mengajar di sana selama 30 tahun secara berterusan. Melainkan kadangkala sepanjang tempoh itu beliau keluar untuk mengambil ilmu daripada syeikh-syeikh besar di daerah-daerah jajahan Fez.

Tidak ada seorang pun syeikh yang muktabar yang hidup sezaman dengannya melainkan beliau telah mengambil ilmu daripada mereka. Justeru, kedudukannya amatlah tinggi di timur negara Islam sehinggakan peninggalannya dari sejumlah murid-murid dan zuriatnya menyaingi ulama-ulama besar dalam bidang ilmu al Quran, syariat dan hakikat.

Al Imam Sayyid Ahmad al Syarif menyebut dalam kitabnya al Fuyudhat al Rabbaniyyah bahawa Al Imam Ahmad ibn Idris telah mengambil ilmu di Maghribi daripada syeikh-syeikh yang berusia panjang, pemilik rahsia-rahsia yang menakjubkan dan
kehebatan seperti Syeikh Muhammad al Tawudi ibn Saudah, Syeikh Abdul Karim ibn Ali al Yazighi, al ‘Allamah Abdul Qadir ibn Syaqrun dan Sayyid Abdul Wahhab al Tazi.

Kemudian, beliau pun berhijrah ke timur dan sampai di Makkah al Mukarramah. Di sana, beliau telah mentarbiah dan melahirkan rijal-rijal yang mempersembahkan khidmat kepada agama Islam dengan khidmat yang sahih dan memberi faedah. Selepas itu beliau keluar dari Makkah menuju ke Sabya Yaman, iaitu selepas meninggalkan di Haramain jasa-jasa yang kekal sehingga ke hari Kiamat. Di Yaman, masyarakat berhimpun bertemu dengannya dalam jumlah yang ramai. Beliau pun bangkit menyeru mereka kepada Allah dengan keilkhlasan, demi mengharapkan keredhaanNya.

Dalam keasyikan memerhatikan suasana persekitaran al Qarawiyyin, azan Maghrib pun memecah suasana. Laungannya seolah-olah mene rbitkan bahang kehangatan untuk kami meredah sejuk angin senja Fez dan berwudhuk dengan airnya yang dingin. Segala puji bagi Allah, kerana memperuntukkan kami suatu nikmat untuk tunduk mempersembahkan pengabdian di masjid yang telah sujud di lantainya ratusan malahan ribuan para ulama dan awliya’ di timur dan barat.

Selepas menunaikan solat Maghrib, beliau duduk di satu sudut berhampiran dengan tiang-tiang al Qarawiyyin yang terpasak padu dengan susunan yang unik dan menakjubkan. Kami pun duduk di sekelilingnya laksana anak-anak kecil yang mengharapkan suapan-suapan yang mengenyangkan.

Ternyata beliau tidak lokek dalam berkongsi ilmu dan ma’rifahnya yang tinggi di senja yang indah itu. Mutiara-mutiara ilmu berkaitan sejarah perjuangan keilmuan dan kemuliaan ahli keluarga Nabi SAW dihamburkan sebagai mengisi dada-dada kami yang kekosongan dan membasahi jiwa-jiwa yang dahagakan hirupan ilmu dan ma’rifah.

Kami tenggelam dalam kupasannya yang bersemangat dan mendalam, menzahirkan betapa keilmuan tokoh yang bersama kami dalam kembara ini bukanlah sembarangan. Mengapa tidak, kerana beliau adalah cucunda kepada Imam Ahmad ibn Idris.

Ketika suasana gelap menyelubungi alam, kami beransur meninggalkan Masjid Qarawiyyin dalam suasana yang amat berat. Barangkali kerana ia telah menambat hati-hati kami dengan rantaian ruhiyyah yang terlilit kukuh dan padu.

Segala puji bagi Allah yang telah mengizinkan dahi-dahi kami sujud menyembahNya di taman yang indah ini. Iaitu tempat imam-imam kami Sayyid Ahmad ibn Idris dan Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi tunduk sujud mempersembahkan pengabdian yang tulus dan suci buat Penciptanya Yang Maha Agung.

Leave a Reply