IMAM AHMAD IBN IDRIS

(1163-1253H / 1750-1837M)

Nama dan Nasabnya

Al Imam al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris merupakan ulama’ yang unggul pada zamannya. Berasal dari keluarga Penghulu Adarisah yang masyhur dan mulia di Morocco dan berketurunan Sayyiduna Hasan ibn Ali ibn Abu Talib.

Nama lengkapnya ialah Ahmad ibn Idris ibn Muhammad ibn Ali ibn Ahmad ibn Muhammad ibn Abdullah ibn Ibrahim ibn Umar ibn Ahmad ibn Abdul Jabbar ibn Muhammad ibn Yamluh ibn Masyish ibn Abu Bakar ibn Ali ibn Hurmah ibn Isa ibn Salam ibn Marwan ibn Haidarah ibn Muhammad ibn Idris (digelar al Asghar) ibn Idris (digelar al Akbar) ibn Abdullah (digelar al Kamil) ibn al Hasan al Muthanna ibn Sayyidina Hasan ibn Sayyidina Ali dan Fatimah al Zahra’ binti Maulana Muhammad Rasulullah SAW.

Sekali pun al Imam Ahmad ibn Idris berketurunan mulia, beliau tidak suka bermegah-megah dengan kemuliaan nasab keturunannya. Hal ini dapat dilihat ketika muridnya, al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi meminta beliau menulis tentang nasabnya, beliau dengan tegas berkata:

“Nasab saya adalah Kitab dan Sunnah. Lihatlah kepada saya, jika kamu dapati saya berada di atas landasan Kitab dan Sunnah, maka katakanlah, “Ahmad ibn Idris berada di atas landasan Kitab dan Sunnah.” Maka inilah nasab saya. Allah berfirman, “(Maksudnya) Pada hari ini, Aku merendahkan nasab-nasab kamu dan meninggikan nasabKu, iaitu taqwa.”

Beliau dilahirkan pada 21 Rejab 1163 Hijrah bersamaan 1750 Masihi di sebuah kampung yang terletak di Mizoura, Morocco.

“Nasab saya adalah Kitab dan Sunnah. Lihatlah kepada saya, jika kamu dapati saya berada di atas landasan Kitab dan Sunnah, maka katakanlah, “Ahmad ibn Idris berada di atas landasan Kitab dan Sunnah.” Maka inilah nasab saya. Allah berfirman, “(Maksudnya) Pada hari ini, Aku merendahkan nasab-nasab kamu dan meninggikan nasabKu, iaitu taqwa.”

Keilmuannya

Tokoh ulama’ besar ini, semenjak kecil lagi telah ditanam dan diasuh dengan didikan agama yang mantap. Semasa berada di peringkat awal pendidikannya lagi, beliau telah menghafaz al Quran dan sebahagian daripada matan-matan ilmu. Beliau mempelajari ilmu-ilmu asas secara talaqqi sewaktu dipelihara oleh saudaranya yang mulia iaitu Sayyid Muhammad ibn Idris dan Sayyid Abdullah.

Di kota Fas, beliau belajar secara talaqqi di Masjid al Qarawiyyin daripada ramai ulama’. Beliau begitu tekun dan bersungguh-sungguh melazimi majlis pengajian ahli-ahli ilmu sehingga sanggup mengharungi pelbagai keperitan dan kepayahan demi mendapatkan ilmu-ilmu dan sanad-sanadnya yang amat besar manfaatnya.

Beliau juga banyak meriwayatkan Hadith Musalsal dan mempunyai sanad ‘Aali sehingga mendapat pengiktirafan daripada Syeikh Muhammad ibn Ali al Syaukani , pengarang kitab Nail al Autar yang masyhur kerana mempunyai sanad yang ‘Aali pada zamannya. Sebagai contoh, di antara al Imam al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris dan Imam al Bukhari , hanya mempunyai 9 perantaraan. Ulama’ pada zamannya berbangga apabila mendapat sanad daripadanya. Di antara mereka ialah al Imam al Akbar Sayyid Muhammad ibn Ali al Sanusi , Mufti Zabid Yaman Sayyid Abdur Rahman ibn Sulaiman al Ahdali , Qadhi Hasan ‘Akish dan lain-lain lagi.

Melihat kepada latar belakang pendidikan al Imam al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris , ternyata beliau mempunyai sanad yang merangkumi semua bidang ilmu; sama ada hadith, tafsir, feqah, tasawwuf atau lain-lain.

Ciri-cirinya

Al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris س tergolong dari kalangan lelaki yang segak dan tampan dan menghiasi dirinya dengan akhlak yang mulia. Mempunyai ketinggian yang sederhana, berkulit putih kemerah-merahan, bermata luas dan dua bulu keningnya bercantum, janggutnya nipis dan terdapat banyak uban, lisannya fasih dan hatinya kuat.

Beliau diperakui memiliki kecerdikan yang sempurna, sentiasa berlapang dada sehingga orang yang duduk bersamanya tidak pernah berasa jemu. Terkenal sebagai seorang yang pemurah, banyak berdiam melainkan ketika berzikir dan menyampaikan ilmu, petah dan tepat dialeknya.

Sayyid Muhammad al Hasan al Mirghani pernah berkata mengenai ketampanannya: “Kecantikannya bak emas yang berkilauan.”

Pada kebiasaannya, beliau memakai serban di atas ketayapnya dengan meninggalkan ekor di bahagian belakang. Labuh baju yang dipakainya berada di atas buku lali kerana mengikut Sunnah Nabi SAW. Beliau merupakan seorang yang wara’, lagi bertaqwa. Pada waktu malam, beliau sentiasa bangun malam dan memanjangkan solatnya. Manakala pada waktu siang, beliau sentiasa sibuk bergelumang dengan dunia ilmu dan pengajarannya.

Fikirannya sentiasa karam dalam solat yang dikerjakannya hingga beliau tidak menyedari apa yang berlaku di sekitarnya. Apabila berdiri untuk mengerjakan solat, badannya menggigil lantaran berasa gerun untuk mengadap Allah dalam keadaan solat yang dikerjakannya disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Kekhusyu’kan solatnya disebut oleh muridnya al Qhadi Hasan ‘Akish dalam kitabnya yang bertajuk, al Dibaj al Khasrawani, ‘Uquq al Durar dan Hadaiq al Zahr, sebagaimana katanya:

“Fikiran Sayyid Ahmad ibn Idris karam dan tenggelam dalam solat yang dikerjakannya ketika bangun malam. Beliau menghadap Allah dengan sepenuh penghadapan sehinggakan beliau tidak menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Apabila berdiri hendak mengerjakan solat, beliau sentiasa menggigil kerana takut untuk mengadap Allah, dalam keadaan solat yang dikerjakannya disempurnakan dengan sebaik-baiknya.”

Anak-anak muridnya meriwayatkan, bahawa pernah sekali ketika al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris mengerjakan solat secara berjema’ah di dalam rumah, suatu benda di dalam rumahnya terjatuh dan kedengaran bunyi yang kuat. Setelah selesai solat, mereka berkata kepada al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris , “Telah terjatuh sesuatu dari atap rumah ini.” Kata al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris , “Bagaimanakah kamu mengetahuinya?” Mereka menjawab, “Kami mendengar bunyi suatu benda terjatuh.” Maka beliau berkata, “Maha Suci Allah! Ketika kamu sedang solat kamu boleh mendengarnya?”

Kewafatannya

Pada malam Sabtu, antara waktu Maghrib dan Isya’, 21 Rejab, al Ustaz al A’zam Sayyid Ahmad ibn Idris kembali ke rahmatullah.

Jenazahnya dikebumikan pada pagi itu, 21 Rejab 1253 Hijrah bersamaan dengan 1837 Masihi di Sabya yang pada masa itu berada di Tanah Yaman (di bawah kuasa Kerajaan Saudi sekarang ini).

Semoga Allah mencucuri rahmat dan keredhaanNya ke atas ruhnya dan melimpahkan kepada kita lautan keberkatannya zahir dan batin.